Jagalah Ibumu

Thursday, October 29, 2009

Salam, saya memasukkan entri ini kerana melihat kekalutan di luar sana bila mana ada insan-insan yang sanggup mengabaikan ibunya sendiri. Ingat sajalah kawan kita juga akan meniti usia tua, kita juga akan menghampiri dan melewati usia emas dan juga akan menjadi lemah dan tidak bermaya.

Jadi usahlah kita mengharap anak-anak kita menghargai diri kita jika sekarang kita tidak menghargai ibu dan bapa kita. Usahlah kita mengharap anak-anak kita menghormati kita jika sekarang kita tidak menghormati ibu dan bapa kita. Usahlah kita harap bakti anak-anak kita jika sekarang kita tidak berbakti kepada kedua ibu bapa kita. Usahlah kita mengharap doa-doa mereka jika sekarang kita tidak mendoakan ibu bapa kita. Usahlah kita mengharap mereka menziarahi kubur kita, jika sekarang kita tidak menziarahi kubur arwah ibu bapa kita. Usahlah kita sesalkan jika kita tidak sempat berbakti kepada kedua ibu bapa kita, tetapi sesalkanlah mengapa SEKARANG kita tidak berbakti kepada mereka.

Ya kawan.........usahlah mengharapkan orang lain hatta anak sendiri jika kita sendiri tidak boleh menjadi anak yang boleh di harap. Adakah pemberian bulanan kita sebanyak RM200/RM300/RM500/RM1000 cukup untuk membayar pengorbanan ibu kita melahirkan kita? Adakah duit kita itu cukup untuk membayar hatta setitik susu yang ibu kita berikan, membayar penah lelah dan pengorbanan ibu kita membesarkan kita, tidak tidur malam ibu kita kerana menjaga kita ketika sakit dan demam?

Hargailah mereka ketika mereka masih hidup ini, dan jika pun mereka telah meninggal dunia teruskanlah berbakti kepada mereka dengan menghadiahkan amal-amal jariah dan doa-doa yang berterusan. Moga-moga kita menjadi anak yang tahu menghargai, dan moga-moga anak-anak kita juga akan mengikut jejak langkah yang telah kita tinggalkan ini.

Pintaku jika ada insan-insan yang bertengkar dengan ibu bapa, yang tidak bertegur sapa dengan ibu bapa, yang tidak mahu menjaga ibu bapa, yang jarang-jarang bertanya khabar ibu bapa, cepat-cepatlah eratkan kembali silaturrahim, cepat-cepatlah berbakti kepada ibu bapa kita ketika kita masih diberikan PELUANG olehNYA.

Kita tidak akan sesekali menang jika bertengkar dengan mereka. Mereka tidak akan sesekali berubah menjadi orang lain kalaupun kita membuang mereka. Mereka tetap ibu dan bapa kita. Tiada mereka tiadalah kita di sini (dengan izinNYA). Tiada mereka, tiadalah kita di dunia ini. Tiada mereka, tidaklah kita menjadi seperti diri kita sekarang. Redha Allah terletak pada redha ibumu (lelaki) dan rehda suamimu (perempuan)

Sesal sesaat terhadap benda yang telah berlaku tiada gunanya. Gunakanlah masa-masa sekarang dan masa-masa akan datang sebaiknya.

p/s: InshaAllah antara entri akan menyusul adalah 'ROI', 'dont regret and there is no turning back' dan 'ilmu vs harta'

0 comments:

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP