Salam, artikel di bawah ini saya nukilkan daripada:
Buku: AURA PERSONALITI WARNA
Penulis: Mir Hazil Azran Ramli
Pengantar: Eric Leong, Pakar Dekorasi Dalaman dan Warna
Terbitan: PTS Millennia
Tahun: Terbitan Pertama 2008
Harga: RM19.50
Secara umumnya buku ini menerangkan tentang 7 warna asas pelangi iaitu merah-jingga (seakan peach)-kuning-hijau-biru-indigo (biru gelap menghampiri ungu)-violet (ungu muda). Susunan ini adalah berdasarkan panjang gelombang iaitu merah paling panjang dan violet paling pendek
Merah-jingga-kuning adalah kumpulan warna panas (gelombang warna panjang), maskulin, garang, pejuang, aktif dsb. Biru-indigo-violet kumpulan warna sejuk (gelombang warna pendek), sejuk, feminin, lembut, cool, pendamai.
Hijau adalah warna keseimbangan @ titik stabil; campuran warna kuning (panas) dan biru (sejuk). Untuk keterangan lanjut bolehlah dapatkan buku ini di pasaran.
Segala ciptaanNYA pasti ada hikmah tersembunyi termasuklah warna. Tidak semestinya betul dan harus salah :) Yaa, boleh saja DIA melakukan sesuatu tanpa sebab kerana DIA Maha Kuasa dan Maha Segala-galanya, dan DIA juga tidak akan melakukan sesuatu secara sia-sia, pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya termasuklah warna-warna yang menceriakan alam ini......
Kenapa pokok warna hijau? Kenapa bunga ada pelbagai warna? Kenapa perlu ada malam dan siang? Kenapa laut warnanya biru? Semuanya ada hikmah tersembunyi bagi insan yang suka mencari dan berfikir. Sama-samalah kita menggali untuk memantap dan memaksimakan keupayaan diri inshaAllah.
Saya nukilkan di sini catatan untuk personaliti Violet di halaman 158-166 untuk tatapan semua.....Lagi sekali juga, buatlah SESUATU SECARA BERKEUTAMAAN, dan melaburlah untuk ILMU juga secara berkeutamaan :). Kalau yang ni pun tak nak baca, tak payah lah beli buku tu yee, baik beli buku lain yang LEBIH memberikan nilai tambah kepada Cik Puan Tuan. Selamat membaca..... ;)
"Personaliti Violet (Halaman 158-166)
Sosial
Personaliti violet adalah personaliti yang dinamik, berkarisma, bervisi dan mempunyai perwatakan yang mantap. Mereka sering berharap dapat membuat sesuatu yang bermakna dalam hidup dan seterusnya dapat memberi inspirasi kepada masyarakat. Kebanyakan individu violet mempunyai harapan memberi sesuatu yang penting untuk disumbangkan dan seterusnya menjadi inspirasi dan motivasi kepada masyarakat.
Mereka menguasai kebijaksanaan mereka serta berupaya menjalinkan kebijaksanaan diri dengan inspirasi serta gerak hati mereka. Mereka mampu mengubah diri dan orang lain. Kombinasi warna merah dan biru yang membentuk violet menjadikan personaliti ini memiliki kegagahan semangat dan daya untuk berhubung yang baik.
Walau bagaimanapun, secara umumnya mereka tidak begitu sukakan aktiviti sosial kerana batasan fizikal dan emosi mereka yang agak sensitif. Mereka mudah terasa hati dan suka mengambil perkara terlalu serius. Ini menyebabkan mereka tidak suka keluar bersama kawan-kawan kerana bagi mereka, ia adalah aktiviti yang membuang masa. Mereka tidak sukakan aktiviti yang tidak bermakna dan kosong sahaja. Mereka lebih gemar berbincang sesuatu yang penting dan berwawasan. Mereka sukakan komunikasi yang mendalam dan bermakna. Mereka suka dan mahu berkongsi visi dan misi cara mereka menilai dan melihat kehidupan walaupun ada kalanya ia sukar diterima oleh orang lain.
Violet berkomunikasi dengan cara yang sopan dan lembut. Mereka berkomunikasi dengan menggunakan perasaan dalaman serta daya imaginasi yang tinggi. Seperti personaliti indigo, mereka banyak menggunakan naluri dalam berinteraksi. Namun begitu mereka juga mempunyai kelebihan melihat sesuatu yang belum terfikir oleh orang lain. Kelebihan berfikir menjangkaui batas pemikiran orang biasa menjadikan mereka sentiasa selangkah di hadapan daripada orang lain. Kelebihan `deria keenam' dan 'mata ketiga' menjadikan mereka perancang yang bagus. Mereka tidak perlu tahu sejauh mana kebenaran mengenai sesuatu yang mereka visualkan kerana mereka mempunyai kelebihan menjiwainya seolah-olah ia benar-benar wujud. Sikap ini menjadi inspirasi kepada orang lain melalui wawasan yang mereka 'nampak' dan ‘rasa’ kan itu. Namun, kadangkala sikap tidak realistik yang berlebihan ini menjadikan orang lain mungkin tidak selesa.
Personaliti ini suka tenggelam dalam dunia mereka sendiri. Mereka hidup dalam alam yang mereka cipta dalam fantasi mereka. Sikap ini ada kalanya menjadikan mereka tidak praktikal atau tidak berpijak di bumi nyata. Imaginasi mereka yang seolah-olah realiti menjadikan personaliti ini sering terperangkap dalam fenomena yang mengelirukan diri dan orang lain. Namun, bagi mereka apa yang mereka fikir dan lakukan tetap benar. Orang lain hanyalah kerana cemburukan mereka atau tidak percaya dengan kata-kata mereka.
Mereka lebih suka berfikir jalan bagi merealisasikan impian mereka. Oleh itu, mereka suka mengekalkan jarak dengan masyarakat walaupun dengan kenalan yang rapat dengan mereka. Maka, bagi sesiapa yang kurang mengenali personaliti in orang itu mungkin menganggap personaliti violet adalah kera sumbang dan tidak pandai bergaul ataupun mementingkan diri. Sikap ini menyebabkan ramai orang menjauhi personaliti violet. Maka, personaliti violet perlu lebih peka dengan respons orang lain pada sikap mereka. Mereka perlu mengekalkan keharmonian sosial supaya mereka mampu memberi inspirasi kepada masyarakat. Mereka tidak perlu menghadkan cara bersosial hanya dengan orang-orang yang mempunyai visi dan misi yang sama sahaja.
Personaliti violet sukakan perubahan. Kebolehan mereka melihat perubahan masa hadapan menyebabkan mereka berupaya memikirkan rancangan menuju ke arahnya. Ini menjadi sebab untuk mereka memberikan khidmat kepada masyarakat. Malah, mereka mempunyai kekuatan melakukan semua itu. Mereka mahukan perubahan yang dapat memberi manfaat yang lebih baik berbanding apa yang ada sekarang.
Personaliti violet suka menyumbang kepada masyarakat. Cara mereka memberi sumbangan adalah dengan memberi tunjuk ajar dan inspirasi kepada masyarakat. Mereka harap masyarakat dapat hidup secara harmoni tanpa sengketa dan peperangan. Cara mereka berinteraksi adalah dengan cara memberi dan membakarkan semangat. Mereka juga berkebolehan menyampaikan bicara secara berkobar-kobar dan penuh semangat bagi merangsang orang lain. Mereka mempunyai magnet yang tersendiri bagi menarik orang lain. Kelebihan kekuatan akal fikiran dan ketenangan dalam tindak tanduk menjadikan mereka idola kepada peminat. Mereka pandai menggunakan kelebihan yang ada ini bagi memenuhi impian mereka. Mereka juga berterus terang dan tidak suka berselindung mengenai sesuatu perkara.
Personaliti violet begitu menghayati muzik. Mereka terangsang dengan getaran ritma bunyi muzik dan dapat merasakan kuasanya. Mereka sukakan muzik yang memberi inspirasi, ketenangan dan semangat. Muzik adalah bahasa universal untuk mereka terhubung dengan alam. Mereka juga memerlukan ruang yang besar, luas dan selesa. Ini menggambarkan kebebasan dan umpama luasnya daya imaginasi mereka. Mereka mudah rasa terperangkap apabila berada di kalangan komuniti yang kecil atau tinggal di bandar-bandar yang kecil. Sempit dan susah bukanlah suatu inspirasi bagi mereka yang mengimpikan kemewahan dan keselesaan. Sikap ini ada kalanya menjadi sikap yang negatif kepada personaliti violet. Ia dapat menjadikan mereka sombong, angkuh dan lupa diri. Sikap ini juga menyebabkan mereka suka memerintah kerana rasa berkuasa. Ini mampu menjauhkan masyarakat dengan mereka dan ia juga mengehadkan sumbangan mereka pada aktiviti sosial.
Perhubungan
Perhubungan, perniagaan atau kerjasama bukanlah suatu keutamaan bagi personaliti violet. Mereka mahukan perhubungan dengan orang-orang yang memahami dan dapat menerima visi dan impian mereka. Mereka lebih sukakan sokongan yang dapat mereka peroleh dari masyarakat. Jika ia bersifat hubungan peribadi; mereka begitu memilih mengikut cita rasa mereka yang tinggi. Hidup mereka yang berinspirasi dan berwawasan menjadikan mereka memilih pasangan yang nampak dan boleh memahami mereka. Mereka senang bersama orang yang dapat membantu dan menyokong usaha mereka menjadi idola dan inspirasi kepada semua. Cita rasa yang tinggi menyebabkan mereka berhati-hati dalam memilih pasangan.
Walaupun mereka sibuk dengan kegiatan memberi inspirasi kepada masyarakat, mereka juga peka dengan pasangan mereka. Reaksi emosi mereka banyak dipengaruhi dengan sifat-sifat sensitif, keghairahan, berdikari dan kecekalan. Personaliti violet sukakan hubungan intim. Mereka mengharapkan kepuasan melalui imaginasi mereka yang tinggi. Mereka impikan kenikmatan melalui perasaan dan fizikal. Bagi mereka, hubungan intim adalah gabungan dua jiwa yang bercantum menjadi satu. Ia bukan sekadar hubungan fizikal tetapi gabungan perasaan yang menjangkaui alam realiti.
Dalam sesuatu perhubungan yang berterusan, personaliti ini mahukan sesuatu yang dapat merangsangkan mereka. Mereka mengharapkan pasangan yang dapat membentuk satu perhubungan menyeronokkan. Sekiranya pasangan tidak dapat memberi perhatian kepada mereka sama seperti yang diberikan oleh mereka, perhubungan mungkin terganggu dan mengalami masalah. Ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam perhubungan. Oleh itu, pasangan violet bertanggungjawab memberi perhatian yang lebih pada perkembangan dan keperluan mereka ini.
Pasangan yang bersesuaian dengan personaliti violet adalah biru malah personaliti biru juga suka bersama dengan personaliti violet. Bagi violet, personaliti biru mampu memberi galakkan dan berkongsi emosi dengan mereka. Jika personaliti violet mempunyai pasangan daripada kalangan personaliti jingga, mereka perlu belajar memberi kebebasan kepada pasangan mereka itu. Mereka perlu tahu, pasangan yang mempunyai personaliti demikian tidak suka dikongkong. Personaliti violet juga sukakan kekuasaan yang dimiliki oleh personaliti merah. Bagi mereka, personaliti merah mampu membakar semangat dan memberi dorongan. Pasangan merah mampu memberi motivasi kepada mereka supaya mencapai apa yang diimpikan.
Sifat yang dimiliki oleh personaliti violet adalah bertentangan dengan personaliti kuning. Personaliti violet berdedikasi dan komited apabila melakukan sesuatu. Berbeza dengan personaliti kuning yang mengambil ringan pada sesuatu perkara. Maka, ini adalah satu cabaran kepada pasangan yang terdiri daripada dua warna personaliti ini. Mereka perlu lebih bijak mengawal keadaan dan selalu bertolak ansur dalam menjalin dan mengekalkan perhubungan.
Personaliti violet mempunyai sifat ingin menguasai. Oleh itu mereka suka mengetuai dalam sesuatu perhubungan. Sikap mereka yang agak dominan ini mungkin kadangkala menyebabkan keretakan dalam sesuatu perhubungan. Mereka perlu sedar, jika mereka mahukan perhubungan yang lebih baik dan mendominasikannya dengan cara yang betul, mereka perlulah belajar untuk peka pada emosi dan keperluan pasangan.
Kewangan dan kerjaya
Personaliti violet tahu, wang melambangkan kuasa dan melaluinya mereka mampu mempengaruhi seseorang. Wang juga mampu membantu mereka mencapai impian. Namun begitu, uniknya personaliti ini menggunakan wang dengan sekadarnya dan berhati-hati. Mereka tidak memerlukan terlalu banyak wang untuk keperluan sendiri namun mereka suka dan menghayati kemewahan yang dimiliki.
Bagi personaliti ini, wang juga adalah untuk masyarakat. Mereka menggunakan wang yang ada untuk memberi inspirasi kepada masyarakat. Mereka juga menggunakan wang bagi merealisasikan visi mereka agar dapat mengubah pandangan orang pada mereka. Mereka sanggup berbelanja bagi mencapai visi mereka kerana matlamat mereka lebih penting daripada wang yang diterima.
Personaliti violet adalah seorang yang berwawasan. Mereka sentiasa mampu berfikir dan mencari penyelesaian bagi sesuatu masalah. Mereka melihat sesuatu masalah secara mendalam dan melalui pandangan yang jauh. Hal ini menyebabkan mereka dianggap sebagai seorang ketua yang ideal. Mereka mampu meramal apa yang akan terjadi bagi keputusan yang diambil. Oleh kerana itu, mereka mampu memikirkan langkah apa yang dapat diambil bagi keputusan akan datang. Bagi mereka, fakta dan statistik bukanlah penentu kerana fikiran mereka sentiasa berada di hadapan daripada segi masa. Mereka tidak perlu tahu secara jelas bagaimana ataupun bila sesuatu perkara itu akan dicapai, mereka `tahu' yang mereka mampu mencapainya.
Personaliti violet adalah seorang yang dinamik. Mereka mampu menjadi ketua dalam sesuatu organisasi. Cara mereka memimpin adalah dengan emosi dalaman mereka, bakat pemimpin yang ada secara semula jadi, daya bervisi yang jauh serta semangat mereka. Mereka mempunyai karisma. Dengan karisma inilah, pengikut berasa senang bekerja dengan mereka. Tarikan dan kelebihan yang ada ini menyebabkan pekerja mereka tidak peduli dengan cara kepimpinan personaliti ini yang mungkin kadangkala agak autokratik dan diktator.
Biasanya, personaliti violet sukakan pekerjaan yang melibatkan komunikasi dan hiburan. Ini kerana dalam bidang ini, mereka mampu menggunakan kelebihan yang ada pada diri mereka iaitu kuasa tarikan, imaginasi dan sikap karismatik mereka. Dengan kuasa karisma yang ada, mereka senang berkomunikasi dan menyebabkan ramai orang senang dan kagum dengan mereka. Oleh sebab itu, mereka dapat kekal lama di dalam bidang ini. Namun begitu, personaliti violet perlu ingat mereka tidak boleh terlalu bergantung sahaja kepada kuasa ini. Mereka perlu membuktikan kepada masyarakat yang mereka juga mempunyai kemahiran atau kelebihan yang lain. Gabungan karisma yang dimiliki dan kemahiran yang sentiasa diasah menyebabkan mereka lebih bersinar dalam bidang yang dipilih. Pekerjaan yang bersesuaian dengan personaliti ini adalah ahli muzik, pelakon, pensyarah, pemimpin organisasi, ahli politik, pencipta, pengkarya, ahli perniagaan dan pengurus projek.
Kesihatan dan pertumbuhan
Jika personaliti violet mampu belajar untuk fokus kepada kelebihan mereka, percaya pada visi hidup mereka dan sentiasa berpijak di bumi nyata (grounded); mereka mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan.
Seperti yang kita tahu, personaliti ini selalu berkomunikasi menggunakan emosi dan daya imaginasi. Ini menyebabkan mereka juga seorang yang sensitif dan mudah terguris hati. Oleh itu, personaliti warna ini perlu belajar mengawal emosi mereka. Mereka dinasihatkan tidak terlalu mengambil perhatian dengan kata-kata yang berbentuk jenaka yang mungkin mengguris hati mereka. Mereka perlu sedar, mungkin kawan-kawan sekadar ingin merapatkan lagi perhubungan dan tidak membiarkan mereka tenggelam dengan dunia mereka sendiri.
Kelemahan lain yang ada pada diri personaliti ini adalah kurangnya keyakinan pada naluri mereka. Ada kalanya, mereka mempunyai sifat mengkritik diri mereka sendiri. Walaupun mereka berjaya melakukan sesuatu projek dengan baik, namun mereka sering berasa tidak berpuas hati. Mereka tetap berasa kecewa sekiranya melihat projek mereka tidak dapat dijayakan dengan sempurna seperti apa yang mereka impikan. Mereka terlalu pentingkan kesempurnaan dan mereka menetapkannya pada suatu tahap yang tinggi. Oleh itu, personaliti ini perlu belajar percaya kepada diri mereka, menerima suratan, reda dan berpuas hati dengan pencapaian yang ada. Mereka perlu menerima yang sesuatu perkara itu tidak semestinya terlalu sempurna.
Personaliti violet adalah personaliti yang mempunyai keghairahan yang tinggi dengan kehidupan. Ini menyebabkan mereka sentiasa mempunyai tenaga yang banyak bagi menikmati kehidupan yang mereka impikan. Bagi orang lain, personaliti violet sentiasa dianggap bernasib baik dan mempunyai tuah. Sebenarnya, ia bukanlah hanya nasib atau takdir. Ia kerana mereka mempunyai kemampuan semula jadi bagi menyalurkan tenaga mereka selari dengan aliran tenaga alam ini. Mereka menggunakan kepekaan dan daya visi mereka bagi menentukan tindakan yang sesuai dan kena pada tempatnya. Mereka tidak mahu menongkah arus atau aliran natural alam. Jika mereka kekal begini dan tidak melawan arus, mereka mampu mencipta banyak keajaiban dalam kehidupan mereka.
Senaman yang bersesuaian dengan personaliti violet adalah senaman yang memerlukan kemahiran mental dan fizikal. Contohnya adalah seperti permainan paintball dan tenis. Permainan ini bukan sekadar memerlukan stamina tetapi strategi bagi memenangi lawan. Daya kreatif dan perancangan visi juga memancar sempurna ketika riadah sebegini. Selain itu, mereka dapat berehat dan menjanakan bateri hayat mereka melalui muzik. Muzik membuatkan mereka lebih tenang. Mereka juga menghayati kerehatan secara meditasi, bertafakur, bermuraqabah atau perenungan jiwa yang mendalam. Mereka berasa sempurna dan lengkap tatkala mengaitkan aktiviti kehidupan dengan sesuatu yang bersifat kerohanian."
p/s: 1. Lagi sekali, tidak semestinya betul dan harus salah
2. Sebenarnya saya sedang mencari jawapan kenapa saya suka warna biru, merah dan putih/silver. Kalau long distance driving; balik kampung umpamanya saya suka warna putih/ ketenangan.
3. Semakin kita belajar, semakin banyak kita rasa kita tak tahu....Sama-samalah belajar selalu
4. Penat sebenarnya ni, baru habis lawan badminton pagi tadi (9am-1pm). UniKL buat internal sport carnival. Game yg aim menang, tak menang (takraw), game yang tak diberikan harapan lak yang menang (badminton). Perkara biasa dalam kehidupan, lain yang dirancang lain yang jadi :) kerna DIA adalah sebaik-baik perancang dan sebaik-baik Pemberi
Read more...