‘Saya Tiada Niat pun...’
Sunday, April 04, 2010
Di sebuah sekolah, beberapa orang pelajar yang disyaki meniru di dalam dewan peperiksaan sedang menunggu giliran untuk memasuki bilik cikgu disiplin. Tiba kepada pelajar yang ke 5
Pelajar (P): Cikgu, saya tiada niat pun untuk meniru.......
Cikgu (C): Kami tidak ingin mempersoalkan niat awak. Cuma yang ingin kami tahu adalah adakah betul awak bawa masuk nota ke dalam dewan peperiksaan?
P: Betul cikgu, saya mengaku, tapi saya tiada niat pun untuk meniru
C: Adakah awak tahu itu satu kesalahan, yang sepatutnya tidak dilakukan?
P: Saya tahu itu satu kesalahan, tapi saya tiada niat pun untuk meniru
C: ...Walaupun dengan membawa masuk nota yang berwarna hitam dengan tulisan pensil yang berwarna hitam?
Tamat cerita
Ulasan
Tiada siapa yang ingin mempersoalkan niat kita. Apa yang kita buat HANYA KITA dan TUHAN SAJA YANG TAHU APAKAH NIATNYA. Orang tidak ingin mempersoalkan niat kita. Cumanya adakah tindakan yang kita lakukan itu selari dengan apa yang kita niatkan?
Selagi tidak menyalahi undang-undang; agama, negara, negeri, sekolah dan etika masyarakat, buat saja apa yang kita fikirkan betul. Orang tiada masa nak persoalkan niat kita. Orang hanya nak tengok cara dan hasil yang kita dapat; adakah betul dan dapat hasil yang setimpal
Kesimpulan
1. Kepada para pelajar, jangan sesekali meniru di dalam dewan peperiksaan. Kita telah diberi peluang dalam kelas untuk BERBINCANG, masa tutorial untuk BERTANYA, selepas test dan kuiz untuk BERDISKUSI. Dewan peperiksaan adalah tempat untuk menguji KEMAHIRAN dan KEMAMPUAN INDIVIDU
2. Apa agaknya STATUS REZEKI yang kita dapat dengan berkerja di luar hasil daripada dapat keputusan yang MENIRU?
3. Biar dapat markah rendah, asalkan usaha sendiri dan berkat
4. Kepada sahabat di mana saja berada, orang juga tidak akan mempersoalkan apa niat kita. Orang akan melihat apa yang kita lakukan, adakah selari dengan apa yang kita katakan ataupun tidak. Usah berhujjah ‘saya tiada niat......’, ataupun ‘niat saya sebenarnya adalah......’ kerana tiada orang ingin mempercayainya.
5. Samalah seperti orang yang mencuri dan berkata ‘saya tiada niat mencuri’ ataupun orang yang menggunakan sistem kewangan riba’ berkata ‘saya tiada niat pun nak terlibat dengan riba’ ataupun seseorang yang membawa kereta dengan laju sehingga melanggar seorang tua dan berkata ‘saya tiada niatpun untuk melanggar dia’ kerana...
6. Mencuri itu adalah suatu kesalahan, terlibat dengan riba’ itu juga adalah salah dan memandu kereta dengan laju di taman perumahan juga adalah salah, WALAU APA NIAT SEKALIPUN
7. Biar dapat sedikit asalkan berkat, kerana hidup kita bukan setakat di sini.....jauh lagi perjalanan dan kehidupan yang akan kita tempuh, dan 'sedikit' pada pandangan kita belum tentu 'sedikit' pada pandangan Dia, dan 'banyak' pada pandangan kita belum tentu 'banyak' pada pandangan Dia
Itu saja yang ingin dikongsikan. Selamat berhujung minggu, jangan meniru lagi dan niat awak hanya awak dan Dia yang tahu