Musafir di Angin Lalu

Friday, April 16, 2010

Sedar atau tidak, kita sebenarnya adalah musafir. Dari alam roh ke alam rahim. Sekarang di alam dunia, menuju ke alam kubur. Seterusnya ke alam mashyar, sirat, mizan dan akhirnya syurga (inshaAllah-moga dikurniakan Allah) ataupun neraka (nauzubillah-moga dijauhkan Allah)

Air yang bertakung, sudahnya akan membusuk. Harimau, jika tidak keluar daripada persembunyian, masakan dapat habuan. Panah, jika tidak meninggalkan busur, masakan mengena sasaran. Manusia, yang sekadar bermastautin masakan tersebar manfaatnya

Banyak cara bermusafir. Guru dengan bertukar kolej dan universiti. Penuntut ilmu dengan bertukar madrasah dan mudir. Pekerja dengan bertukar jabatan dan majikan. Peniaga dengan bertukar lokasi dan susun atur.

Salah satu cara praktikal untuk bermusafir adalah dengan BERTUKAR TEMPAT dan LOKASI SOLAT BERJAMAAH. Contoh, solat zohor dan asar di surau di pejabat. Solat magrib dan Isya’ di masjid UKM. Solat subuh di Surau An Najah.

Esoknya solat zohor dan asar di Masjid Solihin. Solat magrib dan Isya’ di surau An Nur dan solat subuh di masjid UKM. Lusa, solat magrib dan Isya’ di masjid Al Hasanah, dan solat subuh di Surau An-Nur.

Solat jumaat pun sama. Minggu ini di Masjid UKM, minggu depan di masjid GMI, minggu ketiga di Surau An Nur dan minggu ke empat di Masjid Al Hasanah.

Disamping dapat manfaat berjamaah; 'setiap langkah akan diangkat satu darjat, ditambah satu pahala dan dihapuskan satu dosa', kita juga dapat meramai kenalan dan mempelbagaikan ilmu, kerana setiap masjid dan surau biasanya akan ada kuliah magrib, subuh dan Jumaatnya. Dengan bertukar-tukar surau dan masjid, secara tidak langsung kita juga akan sentiasa TERINGAT BAHAWA KITA ADALAH MUSAFIR DAN TIDAK AKAN KEKAL DI SINI.

Selamat menyambut penghulu segala hari. Sama-sama kita merebut peluang keberkatan hari ini. Selamat beramal, selamat menambah ilmu, selamat menambah kenalan dan selamat bermusafir.

1 comments:

tuanbri said...

mm...semua kita ni sebagai musafir.
tak lebih daripada itu.

tuanbri.com

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP